Pages

Thursday, January 30, 2014

Persembahan Artis Yang Tidak Boleh Dilupakan Sepanjang AJL


Untuk edisi ke 28 ini, AJL telah diterajui oleh AG dan Scha Al Yahya. Bersempena dengan AJL 28 yang telah berlangsung pada 26 Januari 2014, jam 9.00 malam di Stadium Putra Bukit Jalil, mari kita imbas kembali persembahan artis yang tidak boleh dilupakan sepanjang penganjuran AJL.



Hafiz & Adira


Kemunculan Aaron Aziz ketika Adira menyampaikan lagu 'Ombak Rindu' di AJL 27 mengundang tepukan dan pekikan gemuruh daripada penonton yang berada di Stadium Bukit Jalil. Saat-saat ini memang tidak terduga dan ia turut menjadi bualan hangat peminat. Maklumlah, ketika itu demam filem 'Ombak Rindu' masih panas.


Faizal Tahir

Setiap kali penglibatannya dalam AJL, Faizal Tahir tidak pernah menghampakan penonton dan memberikan persembahan yang terbaik. Kali pertama Faizal melayakkan diri ke peringkat akhir pada AJL 2007, Faizal terpaksa melupakan hasratnya untuk menyampaikan dua lagu nyanyiannya, ‘Kasih Tercipta’ dan ‘Mahakarya Cinta’ kerana dia tidak dibenarkan untuk mengadakan persembahan secara langsung oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di stesen-stesen televisyen swasta selama tiga bulan mulai 15 Januari 2007, dua minggu sebelum AJL 22 berlangsung. Tempatnya digantikan oleh Bob dan Fiq.


Aishah

Aishah menjadi artis yang memperkenalkan penggunaan props yang banyak di atas pentas AJL. Sewaktu AJL 5 yang berlangsung pada tahun 1990, Aishah tampil menyanyikan lagu ‘Janji Manismu’ dengan membawakan props seperti bingkai gambar, bagasi besar, meja dan lampu. Sebelum ini, Allahyarham Sudirman pernah tampil dengan props yang sangat ringkas iaitu pemetik api sewaktu menyampaikan lagu ‘Merisik Khabar’ pada tahun 1987.



Aishah juga antara artis yang terawal menyuntikkan elemen drama dalam persembahannya di pentas AJL. Aishah terus menampilkan kelainan dalam persembahannya, seperti contoh untuk AJL 10, Aishah menyampaikan lagu ‘Cinta Beralih Arah’ dengan menampilkan drama selepas mendapati cintanya dicurangi dan untuk AJL 22, Aishah menyampaikan ‘bedtime stories’ mengenai Ratu Balqis kepada anak-anaknya sebelum mereka tidur ketika menyampaikan lagu ‘Kasihnya Balqis’.


Ana Raffali


Pada malam AJL 25, persembahan Ana Raffali menyanyikan lagu ‘Tolong Ingatkan Aku’ kurang menarik. Ada yang kurang faham apakah signifikasi sebenar persembahan yang ingin cuba Ana sampaikan dengan menampil props seperti sangkar yang mengurung Ana di dalamnya. Mungkin Ana ingin menampilkan kesinambungan muzik video lagu tersebut dengan menampilkan aktor Zahiril Adzim di atas pentas, namun begitu perkara tersebut tidak sampai ke hati penonton. Kemenangan Ana menggondol AJL pada malam tersebut juga menjadi isu yang diingati sepanjang sejarah penganjuran AJL. Ramai yang tidak menyangka lagu hasil nukilan sepenuhnya oleh Ana ini menjadi juara. Kemenangan Ana menjadi buah mulut dan pertikaian sesetengah pihak.





Ning Baizura


Siapa boleh lupa, penyanyi Ning Baizura yang selalu muncul dengan gaya mempesona dan glamor setiap kali membuat persembahan tiba-tiba muncul mengenakan baju kurung lusuh rona putih ketika menyampaikan lagu ‘Awan Yang Terpilu’, ciptaan oleh Lin Li Zhen dan lirik oleh Allahyarham Loloq. Walaupun tampil berpakaian lusuh bersama props tikar mengkuang, persembahan Ning penuh penghayatan memukau dan sampai ke jiwa penonton, bahkan persembahan tersebut menjadi persembahan yang paling diingati sewaktu AJL 20 biarpun Ning tidak merangkul sebarang anugerah pada penganjuran AJL pada edisi itu.



Ramlah Ram

Untuk malam AJL 3 yang berlangsung pada tahun 1988, Ramlah Ram menang besar dengan lagu ‘Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu’, menggondol Juara Lagu dan Persembahan Terbaik. Lagu tersebut digubah oleh Dato’ Ahmad Nawab manakala liriknya ditulis oleh Juwie dan Wielid. Sehingga kini, pastinya semua tidak boleh melupakan baju berbentuk kunci dan hati yang dipakai oleh Ramlah ketika itu.


Hafiz Suip

Perkara yang sama dilakukan oleh Hafiz Suip sewaktu menyampaikan lagu ‘Awan Nano’ pada AJL 26. Menyuntik elemen drama dalam persembahannya, Hafiz tampil berpakaian sama seperti muzik videonya iaitu baju T berwarna biru, seluar track dan berselipar jepun. Ringkas dan bersahaja, Hafiz turut membawakan Herman Tino ke atas pentas AJL dan persembahan tersebut seakan-akan kesinambungan terhadap muzik video lagu tersebut.


Lagu tersebut berjaya menggondol kejayaan besar dengan merangkul Tempat Pertama AJL 26 dan Hafiz juga membawa pulang anugerah Vokal Terbaik. Namun begitu, suasana agak canggung dirasakan sewaktu Hafiz menerima anugerah pada malam AJL itu kerana Hafiz tidak menukar pakaian yang lebih ‘elok’ selepas selesai persembahannya.


No comments:

Post a Comment