Kalendar 2013 mencatat pelbagai kisah menarik industri hiburan tanah
air. Ada indah, pahit, sedih malah tidak kurang juga perkhabaran sensasi
hingga menjadi bualan ramai. 10 kontroversi paling hangat diperkatakan sepanjang tahun ini dengan
skandal Adi Putra menduduki carta teratas kisah paling panas 2013
manakala kontroversi yang masih menjadi bualan menjelang 2013 melabuhkan
tirainya ialah cinta kilat Johan Asa’ari dengan Lana Nordin yang hanya
bertahan selama sebulan.
Cinta Shila Amzah
Siapa tidak tahu percintaan ‘tragis’ Shila dan pelakon, Sharnaaz
Ahmad. Hubungan yang tidak mendapat restu ibu bapa Shila itu menjadi
bualan ramai bahkan ramai berharap Shila sedar apa yang dilakukan orang
tua adalah untuk kebaikannya.
Sikap kurang bijak Sharnaaz menyelar bapa Shila yang juga penyanyi,
ND Lala kerana menegur sikapnya yang terlalu terbuka, memberikan
kenyataan mengenai hubungan cinta dan tetap mahu merisik Shila, awal
tahun lalu, mengeruhkan lagi keadaan.
Skandal Adi Putra
Seluruh negara mengikuti perkembangan dakwaan skandal Adi Putra atau
nama sebenar, Mohamed Hadi Putera Halim, 32, dengan isteri orang,
Nooraida Abdul Mutalib, 30, yang hangat diperkatakan sejak 5 September
lalu.
Mereka dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah
walaupun baru seminggu kenal menerusi laman sosial Instagram dan kerap
berbalas mesej melalui WhatsApp sejak 29 Julai lalu.
Suami Nooraida, Amiruddin Osman, 56, mengesan hubungan itu selepas
terbaca SMS mereka, awal Ogos lalu dan membuat laporan di Balai Polis
Skudai, Johor. Adi turut membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa
Maju, Kuala Lumpur, mendakwa diugut lelaki yang mengaku suami peminat
wanitanya.
Dalam sidang medianya, Adi menegaskan dia langsung tidak mengenali
wanita itu, apatah lagi saling berhubung seperti didakwa. Keesokan hari,
Amiruddin dan Nooraida dalam sidang media meluahkan rasa tidak puas
hati dan mahu meneruskan kes itu dengan menyerahkan surat rayuan kepada
Jabatan Peguam Negara untuk membuka semula siasatan kes itu.
Afiq Muiz si Tanggang Moden
Krisis hubungan pelakon muda, Afiq Muiz atau nama penuhnya, Muhammad
Afiq Muiz Azman Shah, 21 dan ibunya, Hasliza Mohd, 48, bermula apabila
Afiq mendedahkan kecewa dengan kenyataan ibunya dalam laman portal,
menggelarnya anak derhaka dan mendakwa sikapnya berubah selepas menjalin
hubungan dengan pelakon, Eina Azman, 18.
Lebih terkilan apabila dia dikutuk, dikritik dan dihalau dari rumah
apabila keluarga tahu dia berkawan dengan Eina serta menuduh Eina
mengikis semua wang simpanannya. Afiq mendakwa, sepanjang tiga tahun
menceburi bidang lakonan, hampir 80 peratus wang lakonan diberikan
kepada ibunya tetapi sedikitpun tidak dihargai.
Afiq turut mendakwa abangnya pernah memijak kepalanya apabila dia
tidak beri wang malah pernah ditipu, kononnya ibu meninggal dunia hanya
kerana mereka mahu dia pulang ke rumah dan berikan wang.
Keadaan semakin buruk apabila Eina mahu Hasliza memohon maaf atas
tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan akan mengambil tindakan
undang-undang.
Kes itu selesai apabila Afiq bersedia memohon maaf daripada ibunya
dengan syarat menarik balik semua kenyataan negatif terutama ‘anak
derhaka’.
Ashraf Muslim Kahwin Dua
Imej pelakon yang mendirikan rumah tangga dengan anak kepada
pengasas Pusat Perubatan Islam al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid iaitu Noor
Dayana pada 24 September 2011 di Makkah, tercalar apabila hasratnya
untuk berkahwin lagi dihidu media.
Ashraf dikatakan hadir di mahkamah untuk permohonan berpoligami
tetapi dinafikan. Bagaimanapun, desas-desus itu terjawab apabila Ashraf
mengaku berkahwin dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand pada 7
Julai lalu.
Dayana dikatakan reda jika suaminya berkahwin lagi tetapi ia
disangkal Lokman. Pengamal perubatan Islam itu nyata kecewa kerana
Ashraf seolah-olah tidak sabar mahu menikahi Sakinah tanpa menunggu
keputusan mahkamah berkenaan permohonannya untuk berpoligami.
Ashraf akhirnya tampil memberi penjelasan bahawa dia tidak kahwin
lari kerana ketika bernikah di Pattalung, Thailand keluarga Sakinah
turut bersama.
Bagaimanapun, Ashraf mengaku merahsiakan pernikahan itu kerana tidak
mahu Dayana terluka dan merancang memberitahu isterinya itu selepas
semuanya selesai.
Namun, Dayana tahu terlebih dulu sebelum dia sempat buka mulut
apabila menemui tiket penerbangannya. Ashraf turut menegaskan dia
berkahwin lagi bukan atas sebab zuriat seperti didakwa sebaliknya kerana
sudah tertulis jodohnya dengan Sakinah.
KL Gangster 2 ‘dirompak’
Pada 27 Ogos lalu, karyawan filem digemparkan dengan isu kebocoran
filem KL Gangster 2 dan ia disifatkan rompakan digital terburuk dalam
sejarah industri perfileman tanah air.
Belum pun masuk pawagam, orang ramai sudah boleh menonton karya
arahan Syamsul Yusof menerusi Internet malah cetakan digitalnya dijual
di merata tempat.
Produser Skop Production, Datuk Yusof Haslam mengesyaki ada pihak
tidak senang dengan sambutan positif terhadap filem pertama KL Gangster
hingga sekuelnya sengaja disabotaj.
Yusof tekad mencari dalang yang ‘merompak’ hasil kerja anaknya itu
dan berharap ia menjadi iktibar buat semua. Meskipun laporan polis sudah
dibuat dan kes ini mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia (SKMM), Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KDNHEP) serta beberapa pihak lagi, jenayah serius ini masih tergantung
sehingga hari ini.
Apa sudah jadi? Sejak Ogos hingga kini tidak ada apa-apa
perkembangan. Perkara ini tidak wajar dipandang enteng kerana ia barah
yang mampu membunuh industri.
Aeril dan Wawa Sorok Nikah
Selepas lebih setahun berkahwin dan mempunyai anak, Aeril Zafril dan
Wawa Zainal akhirnya buka mulut mengenai pernikahan mereka selepas satu
artikel mendedahkan rahsia itu.
Hubungan rapat pasangan itu sudah lama diperhatikan media tetapi mereka berdalih menafikan bercinta.
Dalam sidang media pada awal Oktober lalu, Aeril bukan saja mengaku
sudah berkahwin malah menjelaskan bernikah dua kali. Kali pertama pada
25 Februari 2012 di kediaman pengurusnya di Taman Datuk Harun, Petaling
Jaya, mengikut hukum syarak berwalikan bapa Wawa dan dinikahkan imam
dari Sabah.
Bagaimanapun, apabila Wawa hamil pada Januari 2013, mereka bernikah
sekali lagi pada Februari 2013 di Masjid Datuk Harun, Petaling Jaya
mengikut saluran undang-undang negara dan sebelum itu menghadiri kursus
perkahwinan.
Wawa menjelaskan terpaksa menyembunyikan statusnya atas dasar
darurat kerana menghormati kontraknya dengan MIG Talent selain takut
kepada Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Pictures (MIG Pictures),
David Teo. Jika bercinta pun akan dimarah, apatah lagi berkahwin.
Wawa turut mengaku melahirkan anak lelaki diberi nama Ahmad
Fakharuddin Attar pada 24 Ogos lalu di Roopin Medical Centre, Jalan Dato
Haji Eusoff, Damai Complex, Kuala Lumpur.
Erma Fatima dan Rabecca Nur Islam
‘Perang’ di antara pengarah, Erma Fatima dan pelakon, Rabecca Nur
Islam dianggap buku bertemu ruas. Rabecca menang kes saman terhadap
Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd milik Erma berikutan kegagalan syarikat
produksi itu melunaskan baki 40 peratus bayaran lakonannya bagi drama
bersiri Dejavu Di Kinabalu yang dibintangi tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan Erma membayar RM11,200 kepada Rabecca. Ia
menjadi panas apabila Erma membayar jumlah itu dengan ribuan keping
syiling 5 sen dan senaskhah al-Quran hingga tidak disenangi Rabecca.
Pelakon itu memulangkan semula syiling berkenaan dan meminta Erma
membayar wang tuntutan itu dengan cara berhemah.
Alasan Erma, tindakannya itu sengaja dibuatnya bagi mengajar
Rabecca. Masing-masing meluahkan perasaan tidak puas hati di laman
sosial Instagram (IG). Erma kemudian membayar Rabecca dengan duit kertas
RM1.
Fizz Fairuz bertunang isteri orang
Pertunangan Fizz Fairuz dengan Azlyn Massiela Mohd Nazar, 26, secara
senyap di Kuantan pada 10 Februari lalu, mengejutkan banyak pihak
kerana ramai sedia maklum pelakon Nur Kasih itu bercinta dengan pelakon,
Almy Nadia selama tujuh tahun.
Gambar Fizz menyarungkan sendiri cincin ke jari manis Azlyn dikritik
kurang manis kerana bertentangan dengan adat Melayu dan tidak menepati
syariat.
Seminggu kemudian, Fizz mengeluarkan kenyataan sudah memutuskan
pertunangan dengan Azlyn kerana mengetahui wanita itu isteri kedua
seorang usahawan selepas empat hari bertunang.
Kontroversi itu makin sensasi apabila Fizz mendakwa terkena buatan
orang hingga menurut saja aturan pertunangan yang dirancang. Fizz turut
memohon maaf kepada Almy dengan apa yang terjadi. Almy mengaku sudah
lama mengetahui kekasihnya itu terkena sihir seperti didakwa.
Tindakan drastik Fizz memutuskan pertunangan itu mengejutkan Azlyn
dan bertindak tampil ke depan memberi kenyataan. Suami Azlyn yang hanya
mahu dikenali sebagai Ramli (bukan nama sebenar) meminta masyarakat
tidak menyalahkan Fizz kerana pelakon itu mangsa penganiayaan dan
penipuan.
Ramli mendakwa isterinya ‘sakit’ selepas lapan bulan hilang ingatan.
Fizz mengaku trauma kerana insiden itu hingga mengambil keputusan
berdiam seketika sebelum kembali muncul apabila segala-galanya reda.
Kes khalwat Shah Jaszle
Berita pelakon Shahz Jaszle atau nama sebenar, Shahrizal Jaszle
Jasmi, 25, ditangkap basah bersama Farah Nurizzati Salleh, 21, pada 16
Mei menggemparkan industri hiburan tanah air kerana dia sudah bertunang
dengan pelajar perubatan, Redzwani Puteri Ismail, 25.
Dia dan Farah dicekup di Kayangan Apartment, Jalan PJS 10/24, Taman
Sri Subang pada jam 3.50 pagi. Bagaimanapun, pelakon itu menegaskan,
ketika ditahan, dia bukan berdua-duaan sebaliknya berlima di kediaman
itu dan menyifatkan penahanan itu adalah perangkap.
Berita itu makin panas apabila Shahz menyerang Farah di tempat kerja hingga wanita itu diberhentikan kerja 24 jam.
Ketika dibicarakan, Farah mengaku bersalah terhadap tuduhan
berkhalwat dan membayar denda RM3,000. Sebaliknya Shahz mengaku tidak
bersalah. Mahkamah membenarkannya dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500
dan menetapkan 21 Januari ini untuk sebutan semula kes.
Berikutan skandal memalukan itu, keluarga Redzwani bertindak
memutuskan pertunangan pada 10 Jun lalu bagi mengelakkan gadis itu
menjadi bahan cemuhan masyarakat. Ibu bapa Redzwani difahamkan
memulangkan dua bentuk cincin tetapi ikatan yang terputus sudah bertaut
kembali.
Cinta kilat Johan, Lana
Sebulan lalu, bintang Juvana, Johan Asa’ari menggemparkan peminat
apabila mengaku mahu melamar pelakon sensasi, Lana Nordin menjadi
isterinya selepas tiga hari berkenalan.
Bagaimanapun, beberapa hari menjelang 2013 melabuhkan tirainya,
Johan mengejutkan peminat lagi apabila mengatakan hubungannya dengan
Lana berakhir kerana tidak mendapat restu ibunya.
Ramai bersimpati dengan Lana yang sanggup berubah apabila bertemu
lelaki yang disifatkan mampu membimbingnya tetapi akhirnya dikecewakan
Johan yang selama ini dikenali sebagai pelakon berimej warak.
Ada mengatakan tiada restu ibu hanya alasan Johan kerana dia sebelum
itu pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita seperti Izreen
Azmindar, Nabila Huda, Nita Hamzah dan Shila Amzah.