AYER KEROH : Kemarahan yang mendorong seorang penganggur menampar dan
menggigit bekas kekasihnya membawa padah apabila didenda RM1,500 oleh
Mahkamah Majistret di sini, semalam. Ahmad Syahmi Ibrahim, 19, dari Kampung Ali, di sini, mengaku salah
atas tuduhan itu di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman dan diarah
menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada Pustika
Ramadani, 20, dengan menampar pipi kanan dan menggigit bahu kanan mangsa
di sebuah rumah di Jalan PJ 1, Taman Pertam Jaya, di sini. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8.30
malam pada 20 November lalu dan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau
denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Nizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Rayu Hukuman Diringan
Terdahulu, ketika merayu hukuman diringankan, Ahmad Syahmi memohon
supaya tidak dijatuhkan hukuman penjara dengan alasan tidak bekerja dan
perlu menanggung keluarga, selain menyesal terhadap kesalahan yang
dilakukan.
Bagaimanapun, Nabila memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas
tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius hingga menyebabkan
kecederaan terhadap mangsa.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga bekas teman lelaki mangsa
didakwa datang ke rumah wanita itu kerana tidak berpuas hati dengan
tindakan Pustika memutuskan hubungan mereka sebelum menampar pipi dan
menggigit bahu kanan pengadu.
No comments:
Post a Comment