Diskriminasi dan penindasan terhadap pekerja Islam di premis bukan
Islam sering diperkatakan. Ia telah mencetuskan kebimbangan dan rasa
tidak puas hati kepada penganut Islam. Ia juga memberi mesej buruk
bahawa kedudukan orang Islam di negara Islam sendiri tidak dihormati.
Syiar Islam direndah-rendahkan walaupun hanya berkuasa dalam premis
yang terhad iaitu sebuah sekolah. Mereka telah berani dengan
sewenang-wenangnya mengambil tindakan ekstrim mengugut dan
mendiskriminasi seorang muslim yang bekerja di premis tersebut.
Yang terbaru seorang guru muallaf telah diugut keselamatannya kerana
beliau hanya menggunakan hak peribadinya sebagai seorang muslim untuk
mengamalkan amalan agamanya sendiri tanpa menyakiti dan menghina bangsa
lain.
Choy Yi San (Cikgu Choy), 25 tahun, berasal dari Seremban. Beliau
merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik. Beliau memeluk
agama Islam ketika usianya 23 tahun. Pada mulanya, Cikgu Choy tidak
bertudung kerana belum bersedia untuk mendedahkan keislamannya kepada
keluarga dan rakan-rakannya.
Pada pagi Ahad 19 Januari, Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (I-Guru),
sebuah agensi di bawah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menziarahi
Cikgu Choy yang menetap sementara di rumah keluarga angkatnya di Kota
Tinggi untuk mendengar sendiri kisah yang dilalui oleh guru muda itu.
Rombongan disambut dengan ceria oleh Cikgu Choy dan keluarga
angkatnya. Dalam pertemuan ringkas itu, kami mendengar luahan hati Cikgu
Choy berkenaan kesnya yang kurang mendapat perhatian daripada pemimpin
politik sama ada kerajaan atau pembangkang.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina (SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi pada awal tahun 2013 selepas menamatkan
pengajian dalam bidang pendidikan di sebuah institut perguruan.
AZAM BARU 2014
Selepas setahun mengajar, beliau bertekad memakai tudung di sekolah
sebagai salah satu azam di tahun baharu. Identiti baru sebagai muslimah
sejati yang bertudung dan menutup aurat telah lama tersemat di hati
sejak memeluk agama Islam. Hari Rabu, 1 Januari yang merupakan hari pertama persekolahan sesi
2014 adalah hari pertama beliau bertudung di sekolah. Kemunculan beliau
bertudung ternyata tidak disenangi oleh pihak pentadbiran sekolah.
Beliau telah menerima jelingan sinis daripada daripada beberapa orang
termasuk Guru Besar, Chiew Swee Tuan.
Namun, Cikgu Choy meneruskan tekadnya bertudung. Pada hari berikutnya, beliau menerima reaksi yang sama. Pada 6 Januari, Cikgu Choy ke pejabat Guru Besar untuk membincangkan
agihan tugas guru kerana beliau dilantik sebagai PK Pentadbiran lantikan
dalaman. Guru Besar mengambil kesempatan pertemuan itu untuk menyoal
dan memberi “nasihat” mengenai keIslaman Cikgu Choy. Antara “nasihat”
beliau ialah masih berpeluang lagi untuk kembali ke agama asal, masih
banyak pilihan lagi, kenapa hendak mengurung diri dalam agama Islam.
Tetapi Cikgu Choy tidak langsung mengendahkan “nasihat” itu.
Pada 7 Januari, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Encik Pang
telah datang ke sekolah untuk memeriksa perkembangan pertukaran jubin
Bilik Sumber Sekolah. Beliau tersempak dengan Cikgu Choy dan bersapa
seperti biasa walaupun agak terkejut dengan penampilan Cikgu Choy yang
bertudung, kemudian beliau ke pejabat Guru Besar.
DIUGUT BUNUH
Tidak lama kemudian, Guru Besar meminta Cikgu Choy ke pejabatnya.
Pada awal pertemuan, Encik Pang memberi pandangan negatifnya mengenai
keIslaman Cikgu Choy. Keadaan semakin tegang dan serius apabila Cikgu
Choy menerima 3 ugutan dari Encik Pang yang melibatkan maruah dan
keselamatan Cikgu Choy jika tidak membuka tudung semasa bertugas.
Pertama: Jika beliau tidak membuka tudung, beliau dan keluarganya akan dimalukan di sekolah.
Kedua: Jika beliau masih tidak membuka tudung, pihak sekolah akan
memanggil wartawan lalu beliau dan keluarganya akan dimalukan di hadapan
wakil media itu dan disiarkan di akhbar.
Ketiga: Jika beliau masih tidak membuka tudung, En Phang akan
menembak Cikgu Choy dan kemudian En Phang akan menembak mati dirinya
sendiri.
Pada petang 7 Januari itu juga, Cikgu Choy diminta hadir ke Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD) oleh seorang Pegawai PPD. Maka Cikgu Choy
berniat untuk berjumpa dengan Bapa Angkat Sekolah untuk mendapat
pendapat beliau terhadap masalah yang baru ditimpa itu selepas
perjumpaan dengan Pegawai PPD tersebut. Tiba sahaja di PPD, baru Cikgu
Choy mengetahui bahawa pegawai PPD tersebut ingin memberi zakat peribadi
kepada beliau. Pegawai PPD tersebut bertanya sama ada Cikgu Choy
mempunyai masalah setelah memeluk agama Islam. Cikgu Choy menyatakan
baru timbul masalah dengan penduduk Telok Sengat. Beliau menggunakan
“penduduk Kampung” kerana masih tidak tahu mengajukan kepada siapa.
Pegawai PPD tersebut mencadangkan untuk terus berjumpa dengan Timbalan
PPD Kota Tinggi.
Dengan segera, Cikgu Choy berjumpa dengan Timbalan PPD dan
memberitahu masalah yang dialami itu untuk mendapat pandangan Tuan
Timbalan PPD. Cikgu Choy dinasihati untuk membuat laporan polis kerana ugutan bunuh
bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Beliau kemudiannya membuat
satu laporan polis di Balai Polis Teluk Sengat.
Selepas laporan polis dibuat, pihak PPD bertindak segera dengan
menukar Cikgu Choy ke sekolah lain di Kota Tinggi atas alasan
keselamatan. Walaubagaimanapun, ugutan yang diterima tidak melemahkan semangat
Cikgu Choy untuk meneruskan hidup sebagai seorang muslimah. Beliau tidak
merasa gusar dengan peristiwa yang berlaku, bahkan merasa bertuah
kerana apa yang berlaku ini telah menjadikan keislamannya bukan lagi
rahsia. Apa yang beliau bimbangkan bahawa tudungnya perlu dibuka telah
dapat diatasi. Beliau masih boleh memakai tudung walaupun diugut.
Menurut Cikgu Choy lagi, kes ini bukan isu terpencil di sekolah
tersebut bahkan terdapat beberapa orang murid perempuan beragama Islam
di sekolah itu yang dilarang oleh pihak sekolah. Perkara ini bercanggah
dengan kenyataan Guru Besar yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang
mengatakan beliau menghormati pemakaian tudung oleh orang Islam.
Suatu yang dikesali ialah tiada tindakan tegas yang diambil oleh
pihak berkuasa terhadap pihak pengurusan sekolah terutamanya En Phang.
Meskipun siasatan polis sedang dijalankan, pihak berkuasa perlu
mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan sekolah kerana pihak sekolah
telah menafikan hak asasi seorang muslimah bahkan melakukan tindakan
ekstrim dengan pelbagai ugutan memalukan dan mengancam keselamatan.
Apakah dengan tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa ini
bermakna memberi laluan luas kepada mana-mana institusi bukan Islam
untuk melakukan pelbagai diskriminasi terhadap pekerja Islam yang
bekerja di bawah seliaan mereka?
Adakah tudung seorang muslimah telah dianggap sebagai mengancam keselamatan di sekolah?
No comments:
Post a Comment