KOTA BHARU : Seorang penuntut sebuah kolej hidup dalam kebimbangan
apabila aksi lucah dilakukan ketika berbual secara panggilan video
dirakam dan diugut untuk disebarkan di laman sosial.
Malah, remaja berusia 19 tahun yang beralamat di Kubang Kerian itu
juga diperas ugut supaya membayar RM6,000 oleh seorang individu yang
dikenali melalui akaun Facebooknya itu.
Ketua Polis daerah, Asisten Kormisioner Azham Othman berkata, pada
jam 8 malam, 22 Disember lalu, akaun Facebook pengadu menerima pelawaan
‘add friend’ daripada seorang individu yang menggunakan nama, Nickaah
Nayss.
Mereka berbual sehinggalah pada jam 1.48 pagi, tarikh berikutnya,
Nickaah Nayss kemudian menghantar mesej Facebook dan mengajak pengadu
berbual melalui panggilan video, Skype.
“Di dalam perbualan tersebut, pengadu telah melakukan perbuatan lucah
seorang diri sehinggakan Nickaah Nayss menyuruh pengadu menunjukkan
perbuatan itu kepadanya.
“Hanya pengadu sahaja yang menunjukkan kemaluan dan wajah sementara
Nickaah Nayss sebaliknya serta wajahnya pula kabur,” katanya kepada
pemberita, semalam.
Tanpa diduga, perbuatan lucah yang berlangsung selama sejam antara 5
dan 6 pagi itu rupanya dirakam Nickaah Nayss dan dimuatkan ke dalam
Youtube peribadinya.
“Pengadu kemudian diugut membayar RM6,000 sekiranya mahu video
tersebut dipadamkan dan tidak disebar. Pengadu yang ketakutan meminta
jumlah itu dikurangkan kepada RM4,000.
“Nickaah Nayss kemudian bersetuju dan meminta wang dimasukkan melalui
akaun sebuah bank. Dia juga meminta pendahuluan RM2,000 tetapi jumlah
itu dikurangkan kepada RM1,000, manakala bakinya dipersetujui untuk
dijelaskan kemudian,” katanya.
Azham berkata, pengadu kemudian menceritakan kejadian itu kepada
bapanya sebelum dia disuruh membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut
Seksyen 385 Kanun Keseksaan. –
No comments:
Post a Comment