Sejujurnya, apa yang digapai hari ini
adalah hasil daripada keperitan hidup yang dilalui masa lalu. Sepanjang
berada di negara orang, bertubi-tubai masalah mendatang, ia tidak
sedikit pun melemahkan dirinya. Keith sebaliknya berasa dia sangat
bertuah untuk melalui perkara tersebut. Dalam tempoh yang perih pedih
itu, banyak mendewasakan dirinya dalam pelbagai cara.
“Saya diuruskan seorang ejen, bagaimanapun dia tidak uruskan saya seorang kerana ada beberapa lagi bakat baru di bawah jagaannya. Memandangkan agensi dan rumah berada di lokasi yang sama, jadi kami hanya akan tidur di ruang tamu rumah ejen tersebut. Saya selalu tidur di lantai, kalau lambat sampai ke rumah.
“Selama dua tahun di rumah itu, rutin tidur saya hanya akan berakhir di lantai ataupun sofa. Kalau saya pulang awal, saya dapat tidur di sofa. Bagaimanapun selalunya saya lebih banyak tidur di atas lantai, beralaskan sehelai kain sahaja kerana saya selalu lewat pulang ke rumah kerana penggambaran akan habis lewat malam,” katanya tanpa segan menceritakan pengalaman lalu.
Masanya juga banyak dihabiskan dengan
membuat panggilan telefon ke setiap agensi peragaan. Hampir setiap hari,
dia sendiri akan bertanya apakah agensi-agensi terbabit ada membuat
sesi ujibakat untuk model iklan atas permintaan pelanggan iklan mereka.
“Setiap pagi, itulah tugas saya. Angkat telefon dan tanya kepada agensi “Hello, hari ini kamu ada buat casting? Nama saya Keith Foo, saya minat nak buat sesi casting. Hari-hari saya akan telefon bertanya. Kalau ada, saya akan naik ‘bajaj’ (teksi popular di Indonesia) dan terus pergi ke agensi terbabit. Kalau nasib baik diterima, jika tidak saya kena tunggu peluang seterusnya. Begitulah jalan sukar yang saya lalui suatu masa dahulu,” katanya.
Tidak terkesan dengan pengalaman pilu
yang dilalui, menurut Keith selepas 10 tahun dia sangat bersyukur
diterima dengan baik peminat di sana. Malah sehingga saat ini juga dia
sudah berlakon dalam lapan buah filem Indonesia.
No comments:
Post a Comment