Pages

Tuesday, February 18, 2014

Bekas Juara Mentor Mohd Bebas Dari Tuduhan Rogol, Setahun Tanggung Aib?


“Malu memang malu, tapi yang penting sekarang saya bebas daripada pertuduhan itu,” Itulah luahan penyanyi, Mohd Mentor  juara Mentor 4 atau nama sebenarnya Mohamad Izwan Mohamad Nor, mengenai pertuduhan kes merogol seorang penyanyi wanita pada awal tahun lalu.


Tambah Mohd , selepas hampir setahun berdepan aib dan kemelut menjejaskan periuk nasinya, dia menerima berita gembira itu apabila dibebaskan sekitar September tahun lalu apabila kes itu ditutup kerana tidak ada bukti yang boleh mengaitkannya dengan tuduhan merogol peserta Mentor musim keenam, Noor Nazatul Farahin atau Zatul, 25, selepas siasatan polis.



“Alhamdulillah kes itu sudah selesai dan berpihak kepada saya. Memang saya bercadang nak buat sidang media tapi masih belum berkesempatan. Paling mengujakan keputusan ini diperoleh selepas sambutan Aidilfitri lalu dan saya anggap ia hadiah yang amat bernilai.

“Kes ini juga tak dibawa ke mahkamah kerana tiada bukti yang boleh disabitkan. Saya pernah terfikir nak menyaman kembali Zatul tapi ia memakan masa. Jadi ada baiknya saya bersihkan nama kerana saya memang teraniaya,” ujarnya.

“Sebaik keputusan dibuat, saya buat kenduri kesyukuran di kampung. Saya berhasrat nak bangkit semula untuk cari makan dalam bidang seni. Masyarakat tak tahu kes ini sudah selesai dan mereka masih pandang serong pada saya. Itulah sebabnya saya nak buat sidang media untuk lancar ‘single’ sekali gus menjelaskan perkara sebenar nanti,” jelasnya.

Bercadang untuk lebih fokus kepada kariernya sempena tahun baru ini, dia juga mahu lebih berhati-hati untuk berkawan dengan wanita agar peristiwa lama tidak berulang kembali.

Sebagai info, Mohd berdepan pertuduhan itu selepas dia didakwa merogol peserta Mentor 6 iaitu Noor Nazatul Farahin atau Zatul, 25, 31 Januari tahun lalu di rumahnya di Ukay Perdana, Ampang dekat sini.


No comments:

Post a Comment