KOTA BHARU : Seorang pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Kota, tidak sempat pulang ke rumah, yang terletak hanya
500 meter dari jalan besar, selepas maut dirempuh lori ketika
menyeberangi jalan di Kampung Pendek, Kota di sini.
Dalam kemalangan petang kelmarin, mangsa, Mohd Haiqal Haqim Mohd
Zaid, 14, mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian
badan selepas diseret hampir 17 meter ketika keluar dari lorong di bahu
kanan jalan ke jalan besar.
Bapa mangsa, Mohd Zaid Abdul Rahman, 49, berkata, ketika kejadian dia
berada di tempat kerja dan mengetahui tragedi menimpa anak bongsu
daripada dua beradik itu selepas dimaklumkan keluarga terdekat.
“Saya segera ke tempat kejadian tetapi hanya dapat melihat mayat anak dengan kesan kecederaan parah.
“Walaupun sedih dengan pemergian anak tersayang tetapi saya redha dengan kejadian ini,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, arwah anaknya itu seorang yang baik dan rapat dengan ahli keluarga, menyebabkan kehilangannya amat dirasai.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan
Idris Ab Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian dan pemandu lori
terbabit telah membuat laporan polis sejurus selepas kemalangan.
No comments:
Post a Comment