Janda berusia 13 tahun, yang dicerai
talak tiga 11 November lalu dinasihat membuat laporan polis berhubung
dakwaan dirinya dianiaya dalam perkahwinan. Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat
berkata, berdasarkan laporan media termasuk dakwaan remaja itu dirogol
empat bulan sebelum perkahwinannya tahun lalu, ada kemungkinan berlaku penganiayaan dan dia berhak mendapat pembelaan.
“Kami melihat kes ini sebagai satu diskriminasi hak kemanusiaan di
mana daripada cerita dilaporkan media, ada pihak mengambil kesempatan
atas sikap tolak ansur pihak perempuan yang pada awalnya sanggup
menggugurkan laporan dakwaan rogol sebelum dia dikahwinkan bertujuan
untuk menutup aib.
“Namun setelah hampir setahun berkahwin, remaja perempuan itu dikatakan tidak mendapat layanan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, jika laporan itu benar, pembelaan seharusnya diberikan.
“Kalau benar perkara ini berlaku, kami anggap ia sebagai tragedi
kepada remaja perempuan tersebut dan dia perlu diberi pembelaan apatah
lagi melibatkan kes rogol secara berkumpulan,“ katanya.
Dalam pada itu, SukaGuam turut menawarkan khidmat sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kes ini.
“Walaupun ia dianggap sebagai satu perkara serius,
namun tidak wajar perkara ini diperbalahkan secara terbuka kerana ia
mengaibkan tambahan pula ia melibatkan keluarga Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment