Pages

Monday, February 10, 2014

Akhirnya Riduan Masmud DIPENJARA 12 Tahun Kerana Didapati Bersalah Merogol



KOTA KINABALU : Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap bekas pengurus restoran kerana kesalahan merogol gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.


Hakim Ummu Khaltom Abd Samad memutuskan Riduan Masmud, 40, bersalah merogol pelajar perempuan yang ketika kejadian berumur lingkungan 12 tahun, sekitar 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Feb tahun lepas.


Ummu Khaltom berkata bapa kepada empat anak itu juga akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun setelah tamat menjalani hukuman itu. Beliau turut memerintahkan Riduan membayar wang jaminan RM15,000 dengan dua penjamin yang mana seorang daripada penjamin adalah isterinya.

Terdahulu, Ram Singh, peguam yang mewakili Riduan ketika merayu agar hukuman terhadap anak guamnya diringankan, berkata tiada elemen paksaan dan keganasan dalam kejadian itu selain Riduan telah bertanggungjawab mengahwini gadis itu serta menjaga keluarganya.

Beliau berkata Riduan juga menghadapi tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu kerana memberi rasuah kepada bapa mangsa pada April tahun lepas, yang dijangka bersidang bulan ini. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin berkata tertuduh tidak boleh menggunakan alasan perkahwinan untuk melarikan diri daripada kes rogol yang dilakukannya sebelum mengahwini gadis itu.

Raja Zaizul Faridah berkata berikutan kejadian itu, gadis berkenaan tidak lagi bersekolah selain menjadi suri rumah dalam usia muda. Sementara itu, ibu saudara mangsa dalam nada sebak ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berharap hukuman itu akan menjadi pengajaran kepada tertuduh.

“Saya harap anak saudara saya dapat kembali bersekolah selepas memohon untuk bercerai. Saya tahu dia amat tertekan dengan apa yang sudah berlaku sehingga tidak dapat menyambung pelajaran di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berharap dapat kembali menjaga anak saudaranya itu yang kini tinggal bersama bapanya agar beliau dapat meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang doktor memandangkan mempunyai keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Pada 20 Mei tahun lepas, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu, bagaimanapun pada 6 Jun tahun lepas Jabatan Peguam Negara berkata pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.


No comments:

Post a Comment