ROBAN : Usaha mencari nelayan sungai Adrian Thomas, 32, yang hilang
dipercayai dibaham buaya dengan jolokan ‘Bujang Seblak’ berakhir dengan
penemuan mayat tanpa kepala, tangan dan kaki, pagi semalam. Rentetan penemuan mayat menyayat hati itu bermula apabila penduduk
kampung yang menyertai usaha mencari mangsa di Sungai Seblak terlihat
gelagat pelik seekor buaya dianggarkan sepanjang 16 kaki menggoncangkan
tubuhnya dan mengocakkan air sebelum memuntahkan mayat manusia.
Saksi kejadian, Mani Mangai, 50-an, penduduk dari Rumah Mawan Ason,
Empayak, Roban, berkata, seumur hidupnya, itulah kejadian paling aneh
yang pernah dilihatnya.
“Kami amat terkejut apabila seekor buaya kira-kira sepanjang 16 kaki,
berwarna kehitam-hitaman tiba-tiba muncul hanya beberapa meter dari
tepi perahu kami, sambil mengocakkan air lalu memuntahkan sesuatu dari
mulutnya,” kata Mani ketika ditemui media di jeti perahu rumah panjang
terbabit, semalam.
Beliau berkata, pada mulanya mereka menyangka buaya terbabit
memuntahkan plastik, tetapi beberapa minit kemudian, mereka mula terhidu
bau busuk.
“Risau dengan perkara itu, kami terus merapatkan perahu kami dengan benda terbabit sambil menariknya dengan pendayung.
“Kami kemudian terperanjat apabila mendapati bahawa ia adalah
sebahagian daripada tubuh badan manusia, iaitu bahagian dari pinggang ke
paras bahu.
”Menurut Mani, semasa kejadian mereka sedang dalam perjalanan untuk
memeriksa mata kail buaya yang telah dipasang dalam usaha menangkap
buaya yang dipercayai membaham Adrian pada petang Jumaat lepas.
“Sebaik sahaja menemui mayat terbabit kami terus berpatah balik ke rumah panjang untuk memaklumkan penduduk kampung,” katanya.
Mani menemui mayat tersebut bersama tiga rakannya, iaitu Indet
Senabong, pawang buaya yang tidak asing lagi di kalangan penduduk
tempatan, bapa mangsa serta Tuai Rumah Embol.
Indet, 50, berkata, kejadian pelik tersebut berlaku di muara Sungai
Budak, kirakira 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai diserang.
“Menurut penduduk di sini, lokasi itu dikenali sebagai Teluk Berauh. Kejadian ini berlaku sekitar jam 9 pagi.
“Bagi kami, petanda ini adalah sesuatu yang baik dan membuktikan
bahawa kehilangan mangsa selama ini mempunyai kaitan buaya, sekali gus
menangkis cakap-cakap segelintir pihak bahawa mangsa hilang di hutan
berhampiran, lemas serta beberapa tanggapan lain.
“Pada masa yang sama, kejadian ini menunjukkan buaya yang
bertanggungjawab sudah mula merasai kesan daripada usaha yang telah kita
jalankan,” jelasnya.
Justeru, Indet berharap usaha menangkap sang bedal yang dipercayai membaham Adrian akan membuahkan hasil tidak lama lagi. Indet terkenal dengan kepakaran dalam menundukkan buaya apabila
beliau pernah menangkap seekor buaya sepanjang 12 kaki di sungai yang
sama pada 3 Julai tahun lepas.
Dalam kejadian itu, buaya terbabit yang dipercayai membaham Siah
Munsong, isteri Tuai Rumah Embol dari Sungai Anak, tumpas dengan sekali
tampar di kepalanya. Sementara itu, ketika penduduk berkumpul di jeti rumah panjang
terbabit sambil menunggu pihak polis membawa mayat berkenaan ke Hospital
Saratok, mereka dikejutkan dengan berita daripada beberapa pegawai
Jabatan PERHILITAN Sarawak bahawa terdapat petanda salah satu mata kail
yang dipasang oleh pawang terbabit sudah mengena.
Sejurus itu, Indet, Mani dan Tuai Rumah Embol bergegas ke lokasi yang
dimaksudkan, namun sekitar jam 2 petang semalam, kumpulan terbabit
kembali semula ke rumah panjang dan mengesahkan mata kail terbabit belum
lagi mengena.
No comments:
Post a Comment