Pelakon lagak ngeri untuk beberapa buah filem lakonan
Jet Li, Ju Kun adalah salah seorang daripada 227 penumpang yang terlibat
dalam insiden kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370 dari Kuala
Lumpur ke Beijing pada Sabtu lalu.
Menurut laporan Deadline, berita ini telah disahkan oleh Netflix dan The
Weinstein Company yang berkata, "Kami sangat sedih dengan berita
kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Ju Kun yang merupakan salah
seorang daripada penumpang merupakan sebahagian daripada produksi kami
dan seorang yang berbakat. Ingatan dan doa kami adalah bersama
keluarganya dalam tempoh yang sukar ini," ujar Netflix dan The Weinstein
Company.
Ju Kun, seorang pakar seni pertahanan diri veteran dan merupakan
pembantu koreografer pernah menjadi pelakon lagak ngeri untuk watak Jet
Li untuk filem seperti "Fearless", "The Expendables" dan "The Forbidden
Kingdom".
Pelakon berusia 35 tahun ini telah berada di Malaysia untuk siri "Marco
Polo" yang dihasilkan oleh John Fusco dan terbitan dua syarikat
berkenaan. "Marco Polo" dijangka memulakan produksi dalam tempoh tiga
minggu lagi.
Ju Kun dikatakan baru sahaja menghabiskan tugasannya di Pinewood
Studios, Johor Bahru dan telah mengambil penerbangan ke Beijing untuk
pulang ke rumah.
"Kami semua di Malaysia sangat sedih dengan penantian ini. Ju Kun adalah
seorang yang penting dan disayangi oleh keluarga Marco Polo dan bagi
pihak Harvey Weinstein dan Netflix, kami sangat terkejut dengan berita
ini.
"Buat masa sekarang kami akan bersama isterinya, Li Ping yang berada di
Kuala Lumpur bagi memberi sokongan. Doa kami juga diberikan kepada semua
penumpang lain dan keluarga mereka," ujar Fusco.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 telah hilang daripada radar sekitar jam
1.30 pagi Sabtu lalu. Usaha mencari 227 penumpang dan 12 anak kapal
masih lagi diteruskan dengan bantuan beberapa buah negara lain.
No comments:
Post a Comment