SHAH ALAM : Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman gantung sampai
mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Khamis selepas didapati bersalah
membunuh pembantu rumah warga Indonesia mereka, Isti Komariah.
Hakim, Datuk Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas
berpuas hati pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan yang munasabah
terhadap kes pendakwaan.
Fong Kong Meng, 58, bekas perunding pendawaian dan isterinya Teoh
Ching Yen,56, suri rumah, didakwa bersama-sama membunuh Isti Komariah,
26, di rumah No 90,Jalan SS 2/6, Sea Park, Petaling Jaya dekat sini, di
antara 14 Mei 2010 hingga 5 Jun 2011.
Pasangan suami isteri yang mempunyai anak kembar berumur 17 tahun itu
didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34
Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata, di akhir kes
pendakwaan sebelum ini, pendakwaan berhujah bahawa punca kematian mangsa
adalah disebabkan tindakan kedua-dua tertuduh yang tidak membekalkan
makanan mencukupi serta tidak memberi rawatan perubatan kepada mangsa.
Beliau berkata, mangsa semasa mula bekerja mempunyai berat
badan 46 kilogram tetapi ketika meninggal dunia hanya mempunyai berat
badan 26 kilogram.
“Pembelaan gagal menyangkal hujahan pihak pendakwaan berhubung sebab
kematian serta fizikal mangsa dan mahkamah dapati pembelaan kedua-dua
tertuduh hanya penafian semata-mata.
“Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukumangantung sampai mati,” katanya.
Fong dan Teoh yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman.
Sepanjang perbicaraan yang bermula 30 Julai 2012, pendakwaan memanggil 16 saksi sementara pembelaan mengemukakan enam saksi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, Suzana Abdul Latif dan
Muhammad Asyraf Md. Kamal mewakili pendakwaan sementara kedua-dua
tertuduh diwakili peguam Zaleha Al-Hayat dan Thong Seng Kong.
Akhbar sebelum ini melaporkan pembantu rumah yang berasal dari Jawa
Timur itu dibawa oleh majikannya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM), Petaling Jaya, pada 6 Jun 2011 tetapi disahkan meninggal dunia
sebaik sahaja tiba di hospital itu.
No comments:
Post a Comment